Thursday, 21 February 2013

Ada hikmah disebalik musibah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Pernahkah anda ditimpa sesuatu musibah yang tidak disangka-sangka boleh terjadi? contohnya :

1) tiada air ketika hujan mencurah-curah
2) gas habis ketika masak untuk sesuatu majlis
3) setibanya di plaza tol, baru sedar tertinggal dompet/kad touch n go
4) tayar pancit sewaktu nak pergi kerja.
dan macam-macam lagi.

Terus terang musibah diatas adalah antara yang pernah saya alami sendiri.

Bagi anda yang ditimpa musibah, mungkin rakan atau saudara terdekat anda akan cuba menasihati anda dengan perkataan "Sabar".

"Sabar ya, mungkin Allah nak ampunkan dosa kau"
"Bawa bersabar, sabar itu sebahagian dari iman"

Namun bagi saya selain daripada menguji kesabaran, sebenarnya Allah ingin memberitahu sesuatu. Sesuatu yang kita sering tidak ambil kisah.
Saya bagi contoh berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Suatu hari saya selepas habis waktu kerja, saya ingin ke masjid berdekatan untuk membaca Al-Quran.

Setelah sampai ke masjid, saya dapati tayar kereta saya pancit. Beberapa hari sebelum itu kereta saya mengalami sedikit kemek di bahagian bumbung atas sebab yang saya tak ketahui. Saya berasa sedikit terkilan. Sedikit terdetik dalam hati saya perasaan marah, kenapa setelah apa yang saya lakukan, saya di perlakukan sebegini oleh Allah.

Saya terus menggagahkan langkah untuk pergi ke masjid.

Setibanya di masjid, saya dapati ada beberapa orang sedang berada di mimbar. Ada tangga dan beberapa peralatan. Ada wayar merentasi saf saf di masjid. Setelah perhatikan orang di atas tangga itu menggunakan lampu suluh, baru saya perasan tentang ketiadaan elektrik. Keadaan agak gelap kerana waktu sudah pukul 6 lebih.

Saya boleh kata dalam hati saya ini mungkin musibah saya. Yalah, nak baca quran tapi tidak ada elektrik pula, gelap, macam mana nak baca.

Tapi saya cuba pandang dari sudut lain.

Sedangkan masjid yang dikerumuni dengan orang orang yang menghambakan diri kepada Allah, sentiasa didendangkan dengan bacaan zikir dan ayat Al-Quran pun boleh mengalami kerosakan kotak fius yang menyebabkan ketiadaan elektrik. Inikan saya yang ibadah tak seberapa.

Sebenarnya selain dari kesabaran, ada mesej lain yang ingin Allah sampaikan. Cuba lapangkan dada, imbas kembali apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.
Allah tidak menurunkan sesuatu kepada kita dengan sia-sia. Allah maha mengetahui.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 :
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."

Semoga kisah ini memberi peringatan kepada diri saya dan anda semua agar selain dari sabar, ada mesej lain yang ingin Allah sampaikan kepada kita. InsyaAllah

Monday, 18 February 2013

Tanamkan sikap suka memaafkan orang lain

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

gambar sekadar hiasan

Dalam kehidupan seharian kita akan ada sekali sekala kita terasa hati, rasa marah dan sensitif dengan perbuatan orang dimana ada kalanya mereka sengaja mahupun tidak sengaja. Samada rakan kita, bos kita, cikgu kita mahupun adik beradik kita. Apabila orang yang rapat dengan kita secara tiba-tiba menyakiti hati kita, pasti akan mendetikkan kemarahan di dalam hati.

Namun daripada kita terus berdendam dan menganggu emosi kita, apakata kita tanamkan sikap suka memaafkan orang lain. Orang yang memiliki sikap suka memaafkan orang lain mudah berkawan dan disenangi oleh orang lain.

Sebaliknya pendendam mempunyai lebih banyak musuh, dan mungkin ada kawan yang bercakap dibelakangnya gara-gara takut si pendendam itu terasa hati dan marah. Kita sebagai seorang manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.

Firman Allah dalam Al-Nur ayat ke 22 bermaksud :

" Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Adakah kamu tidak mahu supaya Allah mengampunimu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Allah menyarankan supaya manusia bersikap memaafkan orang lain. Dengan memaafkan orang lain, kita akan berasa senang dalam kehidupan seharian tanpa ada dendam dan perasaan negatif. Inilah yang Allah maksudkan dengan "Berlapang Dada".

Bersikap suka memaafkan juga membuka jalan kita untuk dosa kita diampunkan oleh Allah S.W.T 

Namun ia tidak bererti kita hanya perlu lihat sahaja jika berlaku perkara yang ditegah Allah S.W.T.

Contohnya dalam situasi dimana seorang rakan lalai dalam menjaga solatnya, ataupun melakukan maksiat dan berjudi, kita seharusnya tidak bersikap memaafkan mereka kerana takut mereka lebih terjerumus dan tenggelam dalam dosa. Jika mampu nasihatkanlah mereka, jika tidak mungkin kita boleh memohon doa agar mereka diberikan hidayah dan minta dosa mereka diampunkan oleh Allah S.W.T

Namun perlu diingatkan bahawa dosa kita terhadap orang lain tidak akan diampunkan Allah selagi mana kita tidak dimaafkan oleh orang itu sendiri. Jika kita tahu bahawa kita melakukan kesalahan terhadap orang tersebut, maka hendaklah kita bersegera minta maaf kepadanya. Akan tetapi jika dia berkeras hati, bolehlah mencuba doa ini.


Sikap pemaaf mampu menjadikan kita seorang yang senang dengan orang lain dan menerima kesalahan mereka dengan hati terbuka. Sesungguhnya kita tak pernah terlepas dari sebarang kelalaian. Moga-moga Allah ampunkan dosa-dosa kita sepertimana kita memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita. InsyaAllah

Entri ini di inspirasi dari :

1) Majalah Solusi Isu 50 - Tip Mengubat Hati oleh Ustazah Dato Siti Nor Bahyah Mahamood
2) Doa pelembut hati dari shafiqolbu
3) Facebook Dato Dr. Haji Fadzilah Kamsah

Semoga bertemu lagi, Assalamualaikum

Sunday, 17 February 2013

Kata hati tak secantik bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

gambar sekadar hiasan

Kali ni saya nak berkongsi tentang kata hati. Hati ialah tempat dimana perbuatan dan tingkah laku seseorang itu tercetus.

Hati dan akal ialah apa yang menjadikan kita seorang manusia yang bertimbang rasa, tolong menolong antara satu sama lain, nasihat menasihati, kasih sayang dan rasa cinta.

Tapi hati ialah sesuatu yang tidak kelihatan oleh orang lain. Walaupun perbuatan seseorang itu boleh mencerminkan hatinya, namun tidak semestinya hatinya secantik bicaranya.

Ini kerana seseorang itu boleh melakukan sesuatu kebaikan seperti berdakwah, menyebarkan post di facebook, menulis dan melukis sesuatu berkaitan agama walhal hatinya mungkin sebenarnya hanya ingin mengejar populariti dan ingin mengambil hati seseorang.

Ini dipanggil sebagai sifat Mazmumah, iaitu terkeji dan bukannya Mahmudah, iaitu sifat terpuji.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Tidakkah dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila baik ia maka baiklah jasad seluruhnya. Dan apabila rosak ia maka rosaklah jasad seluruhnya, ia adalah hati."

Hadis Riwayat Bukhari-Muslim

Ada juga yang memberi nasihat kepada orang lain namun mereka sendiri melakukan kesalahan itu. Contohnya :

"Mat, jangan lupa solat",kata ayah kepada seorang anak.

Tapi ayahnya sendiri tidak menjaga solatnya.

"Baiklah ayah!, sekejap lagi Mat pergi surau."kata Mat kepada ayahnya.

Ayahnya berlalu pergi manakala mat pergi ke Cybercafe dan tidak solat.

 Ini namanya bapa borek anak rintik.

 Peringatan buat anda dan diri saya sendiri, hindarilah diri kita dari sifat terkeji ini. Moga-moga kita menjadi seorang yang mana hatinya secantik bicara, melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah. InsyaAllah.

Entri ini diinspirasi dari :
1) Blog badar-betty
2)  usahataqwa.com
3) Blog yusofembong

Thursday, 14 February 2013

Kebaikan Menyambut Hari Lahir

Assalamualaikum dan salam sejahtera

kad diambil dari laman jiwarosak.com

Selalunya apabila kita bercakap tentang hari lahir, atau hari jadi, atau "Happy Birthday", kita mesti akan teringat akan kek. Seolah olah kek dan hari kelahiran sangat sinonim dan tak sah kalau tak ada.
Beberapa lilin dicucuk melambangkan umur si peniup lilin nanti.

Mengikut tradisi orang putih, kita dikehendaki menyatakan hajat dahulu lalu meniup lilin.Ya dengar pun dah tahu ada yang tidak kena di situ. Begitu juga dengan lagu "Happy Birthday to you".

Menyambut hari lahir memang tidak salah, namun kita perlu berhati hati agar tidak menyambutnya menyerupai kaum lain.

Namun dari konteks yang lain, kita juga boleh memperbaiki tradisi ini dengan beberapa penambahbaikan. Antaranya :

1) Menggantikan lagu "Happy Birthday To You" dengan lagu "Allah Selamatkan kamu"
2) Membaca doa hari lahir. Teks ini saya dapati dari laman  Angkatan Tentera Malaysia





Apa yang penting ialah niat kita menyambut hari kelahiran orang tersebut. Menyambut hari kelahirannya dapat menaikkan rasa gembira, rasa dihargai dan rasa bersyukur didalam hati orang tersebut.

 Ianya juga dapat mengeratkan tali sillaturrahim bila mana kita bergelak ketawa, dan berkongsi kek dan makanan dengan rakan-rakan. Mungkin juga orang itu jarang tegur menegur di waktu biasanya, tapi apabila dia diraikan, dia semakin terbuka dan mula menjaring persahabatan dikalangan sahabat-sahabat yang lain.

InsyaAllah sambutan hari lahir mampu memberi banyak kebaikan kepada orang yang disambut itu. Mungkin jika kita mampu, kita cuba untuk mengubah cara tradisi lama kita kepada yang lebih islamik dan mengikut sunnah agar kita dapat mengimarahkan Islam dan menepis budaya yang tidak bertepatan dengannya.InsyaAllah

Di inspirasi dari :

1) pensil-tekan.blogspot.com
2) jiwarosak.com
3) KOR Agama Angkatan Tentera ATM 


Wednesday, 13 February 2013

Amalkan sikap suka bersedekah

Assalamualaikum dan salam sejahtera

 (gambar sekadar hiasan)



Apabila kita mendengar perkataan sedekah, pasti kita memikirkan tentang wang yang dihulur kepada peminta sedekah atau ke tabung2 derma. Namun sedekah tidaklah terhad dalam bentuk wang sahaja.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

Jagalah dirimu daripada api neraka meskipun hanya bersedekah separuh daripada sebiji kurma. Jika tidak mampu, maka dengan perkataan yang baik”

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Orang kata, senyum pun sedekah juga. Kadang kala saya sendiri pun keberatan untuk senyum kerana ditakuti ada pihak yang salah faham niat kita, apatah lagi kalau pihak itu perempuan. Namun jika senyum agak sukar, apakata kita cuba beri salam apabila bertemu. Namun jangan pula melebih lebih.

“Assalamualaikum, tak jawab dosa”
“Assalamualaikum, hai cik adik sorang je, nak abang teman?”

Dan sebagainya

Namun jika betul niatnya, sesiapa yang mengucapkan salam sebenarnya telahpun mendoakan untuk orang yang memberi salam itu. Kita sebenarnya mendoakan kesejahteraan mereka, dan dengan ungkapan salam sejahtera itu ianya meliputi kesihatan, kebahagiaan dan keselamatan orang itu. Itu juga adalah satu sedekah.

Sedekah juga tidak semestinya memberi. Tidak semestinya beri salam. Kita juga boleh jadi penerima dikala kita bersedekah.

Jadilah seorang pendengar kepada masalah yang dihadapi sahabat, keluarga, adik beradik dan anak-anak. Dengan mendengar dan menerima keluhan mereka, kita dapat melahirkan rasa bersyukur kepada Allah S.W.T dalam hati orang itu dan InsyaAllah diberi pahala kepada mereka. Itupun sedekah juga InsyaAllah.

Berdoa untuk orang lain juga dikira sedekah juga. Apabila rakan kita dalam kesusahan, sakit dan sebagainya, doakan kepada mereka

"Ya Allah, hilangkan dari dirinya penyakit, kembalikan dia kepada kesehatan dan ke-sembuhan. Bantulah dia dengan sebaik-baik perlindungan, dan kembalikan dia kepada sebaik-baik kesembuhan. Jadikanlah apa saja yang dirasakannya pada waktu sakitnya sebagai pahala untuk kehidupannya dan penghapus atas segala kesalahan-nya. Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad."

Apabila kita saling mendoakan orang lain, InsyaAllah doa-doa kita mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

Pesanan buat anda dan diri saya sendiri, amalkanlah sikap suka bersedekah,bukan sahaja dengan kewangan tapi juga dengan menjadi pendengar yang baik dan mendoakan orang lain agar urusan kita dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah.

Di inspirasi dari
1)Majalah solusi m/s 119 isu 47 – Pesan Nenek | Sentiasa Ada untuk memberi
2)Blog lurveelivestorys - Doa Minta kesembuhan untuk orang sakit


Assalamualaikum

Tuesday, 12 February 2013

Menasihati rakan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera



Saya pasti anda semua pasti mempunyai rakan karib di tempat kerja, di kolej, di sekolah mahupun di laman maya seperti Facebook dan Blogger.

Saya mempunyai beberapa orang rakan yang sangat baik. Mereka banyak membantu terutamanya dalam menyiapkan tugasan di tempat kerja. Ada juga yang sudi mendengar keluhan dan suka duka pengalaman saya. Ada juga yang boleh bergurau dan berhibur bersama.

Yang perempuan bertudung cantik menutup aurat. Yang lelaki segak berbaju melayu dan kopiah di hari Jumaat.

Walaupun yang demikian, ada dikalangan mereka seakan lalai dengan kewajipan mereka, iaitu  kewajipan sebagai seorang muslim yang harus menunaikan solat 5 waktu.

Namun ingin saya mengingatkan anda dan diri saya sendiri, kita tidak seharusnya merasa diri kita hebat dan merendahkan rakan-rakan kita yang kelalaian itu kerana sikap ini sebenarnya sangat tidak disukai Allah.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 18 :

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membangga diri"

Walaupun mereka ternyata melakukan kesalahan, namun kita tidak seharusnya memarahi dan menghukum mereka, dan yang paling teruk memulaukan mereka.

Sepatutnya kita cuba menegur mereka agar mereka mengingati semula Allah S.W.T. Namun teguran itu janganlah terlalu keras seperti ini :

"Woi nak masuk neraka ke tak sembahyang!"
"Ko kafir ke?"
"LISTEN LISTEN LISTEN! "

Kita boleh meneladani sunnah Nabi Muhammad S.A.W ketika berdakwah, dimana baginda bersikap lemah lembut, memohon ampun, muzakarah, memaafkan dan bertawakal kepada Allah.

 Sunnah ini penting kerana jika kita gagal melakukanya, rakan yang cuba kita nasihati barangkali akan tidak senang dan menjauhkan diri dari kita, lalu membuatkan hatinya tertutup.

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 159 yang bermaksud :

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. 


Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Peringatan buat anda dan juga diri saya sendiri, hargailah rakan-rakan anda, dorong dan bimbinglah mereka ke jalan yang benar, dengan cara yang baik sepertimana sunnah Rasulullah S.A.W.

Mudah-mudahan mereka menerima hidayah dan petunjuk dari-Nya. InsyaAllah.

Entri ini di inspirasi dari :
HafizFirdaus.com

Assalamualaikum





Monday, 11 February 2013

Ketegasan sebagai seorang pemimpin

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pemimpin adalah seorang yang boleh membantu dan membimbing orang lain di dalam satu kumpulan ke arah satu matlamat. Adakah anda seorang pemimpin? Jika anda ketua sesebuah team/kumpulan di tempat kerja anda, seorang abang atau kakak kepada seorang adik, seorang suami kepada seorang isteri, seorang ibubapa kepada seorang anak,  anda juga adalah seorang pemimpin.

Seorang pemimpin yang berjaya mampu membantu orang dibawahnya menyelesaikan tugas atau matlamat yang di tentukan kepadanya.


Seorang pemimpin perlu ada sikap yang positif, seorang yang memberi inspirasi, yang memberi motivasi, tegas, adil  dan mempunyai keyakinan tinggi pada diri.

Menjadi pemimpin memerlukan ketegasan dan keberanian agar orang dibawahnya setia dan taat kepada pemimpin tersebut.

Selain itu juga ketegasan perlu bagi menegakkan keadilan dan kebenaran, walaupun orang itu orang yang paling kita sayangi.

Kita singkap kembali kisah sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Pada suatu hari seorang daripada anak lelaki Saidina Umar, iaitu Abdul Rahman bin Umar merasa haus dan dia telah berjumpa dengan seseorang lalu beliau meminta sedikit minuman daripada orang itu. Namun tidak disangkanya orang itu telah memberinya arak dan orang itu rupanya adalah berbangsa Yahudi. Beliau tidak tahu rupa arak kerana tidak pernah melihat dan meminumnya sejak kecil.

Setelah meminumnya beliau telah mabuk, lalu dikuasai syaitan dan akibat daripada itu, beliau telah keterlanjuran dan melakukan zina. Atas sebab penzinaan itu telah menyebabkan perempuan tersebut hamil.

Kejadian itu sampai kepada pengetahuan bapanya, Saidina Umar pada ketika itu adalah Amirul Mukminin, bermaksud Ketua Orang Islam.

Atas sebab kesalahan anaknya itu, beliau telah menyebat Abdul Rahman sebanyak 100 kali.

Firman Allah S.W.T dari Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat."

Begitulah tegasnya seorang ayah kepada seorang anak. Walaupun anaknya sendiri yang melakukan kesalahan, Saidina Umar tidak memilih kasih dan berkira dalam hal ini, terutamanya hukum yang telahpun ditentukan oleh Allah S.W.T.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud:

"Dalam kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr.
Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. 
Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. 
Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Ka’b. 
Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit.
Orang yang paling berilmu mengenai halal dan haram ialah Muaz bin Jabal.
 Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah."

 (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Peringatan buat anda dan diri saya sendiri marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti diri sebagai seorang pemimpin dan bersikap tegas terutamanya hal-hal berkaitan kebenaran dan hukum Allah S.W.T. InsyaAllah

Entri ini di inspirasi dari
1) Majalah Solusi Isu 25 m/s 34 :Profil Sahabat, Syaitan lari dari Sayidina Umar
2)  Blog Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman

Assalamualaikum

Nak Tolong ke Tak

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

(gambar sekadar hiasan)


Sewaktu memandu ke tempat kerja, adakalanya saya terlihat ada orang dalam kesusahan. Ada yang kereta tayarnya pancit. Ada yang eksiden kereta kemek dan ada yang kereta rosak tak tahu apa puncanya.Perlukah saya menolong mereka?

Tapi dalam diri kita semua pasti ada sifat ingin menolong dalam diri mereka. Ya saya juga. Bila saya lihat mereka itu, memang terdetik nak memperlahankan kenderaan yang dipandu lalu turun dan bantu. Namun perlahan sekadar perlahan, cukup untuk melihat apa yang berlaku. Lepas tu terus tekan pedal minyak dan melajukan kereta menuju ke tempat kerja. Macam-macam alasan yang difikirkan.

"Oh ada telefon kecemasan kat situ, mesti dia dah telefon minta bantuan"
"Alamak kalau tolong nanti lambat pula pergi kerja"
"Kesiannya tayar dia pancit. Ala dia lelaki mesti tahu punya macam mana nak tukar tayar tu"

Sepatutnya saya selaku seorang muslim haruslah mengamalkan sikap tolong menolong.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi dia menolong saudaranya." 
 (Riwayat Al-Bukhari)

Ini janji Allah kepada kita namun saya sendiri pun masih tidak mampu melaksanakannya. Cukup sekadar membantu rakan terdekat. Nak membantu pun saya memilih. Bayangkan kalau Allah bersikap memilih dalam membantu hambanya, dan saya tidak tersenarai dalam pilihan-Nya itu. Alangkah ruginya saya.

Kadang-kadang apabila kita pula yang susah, tiba-tiba bantuan datang dari sumber yang tak disangka-sangka. Ini mungkin bantuan dari Allah S.W.T yang membalas semula bantuan yang pernah kita lakukan dulu.

Dalam hadis Rasulullah S.A.W riwayat al-Tarmizi dan Abu Daud :

Makanan :
 Sesiapa yang memberi makanan kepada orang yang lapar, Allah akan menyediakan untukknya makanan dari buah-buahan syurga

Minuman :
Sesiapa yang memberi minuman kepada orang yang haus, Allah akan menyediakan untuknya minuman daripada rahiq al-makhtum (nama minuman di syurga)

Pakaian :
Sesiapa yang memberi pakaian kepada orang yang tiada pakaian, Allah akan menyediakan untuknya pakaian daripada dedaun syurga



Peringatan buat anda dan diri saya sendiri, bantulah orang yang dalam kesusahan, barang kali ada hikmah disebaliknya dan InsyaAllah Allah akan ganti kepayahan yang kita alami akibat menolong orang itu dengan sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah.

Assalamualaikum

Sunday, 10 February 2013

Pentingnya menyebut InsyaAllah

Assalamualaikum

(gambar sekadar hiasan)

 InsyaAllah bermaksud Dengan Izin Allah. Perkataan yang selalu disebut apabila kita dikehendaki melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti adakah kita ada kelapangan untuk melakukannya atau tak.

Contohnya jika rakan kita mengajak untuk datang ke rumah :
"InsyaAllah aku datang"
"Semoga bertemu lagi dilain hari, InsyaAllah"
"InsyaAllah la kot, ko nampak aku ada besok ada lah maknanya, kalau tak tu takde lah.

dan sebagainya. Nak lebih lanjut tentang cara nak guna InsyaAllah bolehlah ke laman ini
blog analuvislam

Namun disini saya ingin kongsikan tentang pentingnya melafazkan InsyaAllah ini.
Kita cuba singkap kisah Nabi Sulaiman yang direkodkan dalam kitab hadis Bukhari dan Muslim.

Untuk pengetahuan anda, Nabi Sulaiman adalah anak Nabi Daud a.s.
Beliau merupakan satu-satunya di dunia ini yang diberikan tiga kelebihan yang mana juga tidak diberi kepada Nabi Muhammad S.A.W, iaitu :

1)  Kekayaan,
2) Kenabian
3) Kekuasaan.

Setelah kewafatan ayahandanya, Sulaiman diangkat menjadi raja di Kerajaan Bani Israil.
 Beliau bukan sahaja berkuasa terhadap manusia, bahkan binatang dan juga makhluk halus seperti jin dan lain-lain. Beliau mempunyai keupayaan memahami semua bahasa binatang.

Namun seorang Nabi juga tidak terlepas dari kealpaan. Pada suatu hari Nabi Sulaiman terlalai dan berbangga diri lalu menyatakan hasratnya disaat dia begitu menginginkan generasi yang hebat :

"Aku akan menggilir sembilan puluh sembilan isteriku semalaman, yang mana kesemuanya akan melahirkan anak lelaki yang berperang fii sabiilillah".

Hanya pada waktu hasratnya dilontarkan, dia tidak mengucapkan "InsyaAllah". Walaupun seorang sahabatnya telah menegurnya, beliau lalai lalu meneruskan hasrat tersebut.

Apa yang terjadi adalah daripada 99 isteri isteri tersebut, malangnya hanya seorang sahaja yang melahirkan anak, dimana anak itu digambarkan didalam hadis sebagai "Setengah manusia". Ia juga digambarkan dalam surah Sad ayat 34 yang bermaksud :

Dan Demi Sesungguhnya Kami telah menguji Nabi Sulaiman (satu kejadian) dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (tidak cukup sifatnya) kemudian ia (Nabi Sulaiman) kembali (kepada kami bertaubat)

 Begitulah ujian Allah S.W.T kepada Nabi Sulaiman a.s tatkala beliau alpa dalam mengucapkan InsyaAllah.

Tiada apa yang menghalang apa yang Allah berikan dan tiada apa yang memberi apa yang Allah cegah. Tiada berguna kekayaan dan kemuliaan itu bagi pemiliknya selain iman dan amal solehnya. Hanya dari Allah kekayaan dan kemuliaan.

Semoga entri kali ini memberi peringatan buat anda dan diri saya sendiri agar lebih berhati hati dan tidak lupa untuk menyebut InsyaAllah.
 
Entri saya kali ini diinspirasikan dari laman Indonesia, dakwatuna.com, oleh entri yang dikarang oleh Hatta Syamsuddin.

Assalamualaikum

Dari Baju Raya ke Tablet

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya OmranDaim. Seorang yang berkecimpung dalam bidang kreatif. Di sini saya ingin bercerita, memberitahu kisah suatu perjalanan hidup yang saya alami yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi kepada anda semua. Mungkin menarik, mungkin bosan, namun tanpa garam yang masin tak mungkin gulai menjadi sedap.

Saya mulakan dengan satu cerita sewaktu saya kolej dulu.

Di waktu kolej dulu, saya mengambil jurusan IT. Namun saya tidak suka membaca. Saya suka melukis.

Suatu hari pada bulan Ramadhan kawan-kawan saya mengajak saya ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Mereka ingin membeli persiapan untuk hari Raya. Masa tu duit pinjaman baru masuk. Gembira kami semua ingin membelanjakan duit tersebut walhal sepatutnya kami menggunakan duit itu untuk membeli buku dan sara hidup untuk satu semesta.

Saya tidaklah begitu berminat sangat nak membeli persiapan raya pada ketika itu. Kerana mak ayah saya dah beli dah pun baju melayu untuk saya. Selalu parent saya akan beli baju sama untuk adik beradik lelaki, termasuk ayah saya. Baju sedondon, sama warna, sama saiz. Senang. Kalau nak tempah pun murah sikit. Ye kot.

Oh berbalik pada cerita tadi. Saya tak begitu berminat. Beberapa hari sebelum itu saya telahpun melakukan beberapa survey untuk membeli wacom tablet, satu alat untuk melukis terus kedalam komputer. Saya sangat berminat untuk membeli itu.

Jadi pada hari itu, kami bersama-sama naik satu kereta, kawan saya punya kereta, saya penumpang sahaja, parking di stesen LRT dan naik LRT menuju ke jalan Tunku Abdul Rahman.

Sesampainya disitu, saya tiba2 mempunyai idea.

Daripada saya pergi beli baju lebih baik saya pergi ke Plaza Lowyat untuk beli Wacom Tablet itu.
Tanpa berfikir panjang, saya pun memberitahu kawan saya bahawa saya ingin ketempat lain. Mereka berasa kehairanan, namun setelah memberi pelbagai alasan akhirnya saya dilepaskan pergi.

Saya pun bergegas naik semula ke eskalator dan kembali ke tempat beli tiket lalu membeli tiket ke bukit bintang.

Akhirnya saya berjaya ke Plaza Lowyat, beli Wacom tersebut dan kembali ke stesen Tunku Abdul Rahman. Namun waktu sudahpun hampir malam. Kawan-kawan saya yang sudahpun selesai membeli belah sangat terkejut melihat apa yang saya beli untuk Raya waktu itu. Elok-elok nak beli Baju Raya tiba tiba Tablet pulak jadinya.

Haa itu lah cerita pengalaman saya waktu kolej dulu. Saya seorang yang sangat sukar dijangka oleh kawan-kawan saya. Mungkin mereka sakit hati dan tak suka perangai saya namun saya puas hati kerana tablet ini sudah bertahan hampir 5 tahun, dan saya masih gunakannya sehingga sekarang.

Terima kasih ya kerana sudi luangkan masa membaca cerita saya yang tak seberapa ini. Semoga saya dapat kongsikan lagi pengalaman saya di lain hari. InsyaAllah

Assalamualaikum.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...