Monday 11 February 2013

Ketegasan sebagai seorang pemimpin

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pemimpin adalah seorang yang boleh membantu dan membimbing orang lain di dalam satu kumpulan ke arah satu matlamat. Adakah anda seorang pemimpin? Jika anda ketua sesebuah team/kumpulan di tempat kerja anda, seorang abang atau kakak kepada seorang adik, seorang suami kepada seorang isteri, seorang ibubapa kepada seorang anak,  anda juga adalah seorang pemimpin.

Seorang pemimpin yang berjaya mampu membantu orang dibawahnya menyelesaikan tugas atau matlamat yang di tentukan kepadanya.


Seorang pemimpin perlu ada sikap yang positif, seorang yang memberi inspirasi, yang memberi motivasi, tegas, adil  dan mempunyai keyakinan tinggi pada diri.

Menjadi pemimpin memerlukan ketegasan dan keberanian agar orang dibawahnya setia dan taat kepada pemimpin tersebut.

Selain itu juga ketegasan perlu bagi menegakkan keadilan dan kebenaran, walaupun orang itu orang yang paling kita sayangi.

Kita singkap kembali kisah sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Pada suatu hari seorang daripada anak lelaki Saidina Umar, iaitu Abdul Rahman bin Umar merasa haus dan dia telah berjumpa dengan seseorang lalu beliau meminta sedikit minuman daripada orang itu. Namun tidak disangkanya orang itu telah memberinya arak dan orang itu rupanya adalah berbangsa Yahudi. Beliau tidak tahu rupa arak kerana tidak pernah melihat dan meminumnya sejak kecil.

Setelah meminumnya beliau telah mabuk, lalu dikuasai syaitan dan akibat daripada itu, beliau telah keterlanjuran dan melakukan zina. Atas sebab penzinaan itu telah menyebabkan perempuan tersebut hamil.

Kejadian itu sampai kepada pengetahuan bapanya, Saidina Umar pada ketika itu adalah Amirul Mukminin, bermaksud Ketua Orang Islam.

Atas sebab kesalahan anaknya itu, beliau telah menyebat Abdul Rahman sebanyak 100 kali.

Firman Allah S.W.T dari Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat."

Begitulah tegasnya seorang ayah kepada seorang anak. Walaupun anaknya sendiri yang melakukan kesalahan, Saidina Umar tidak memilih kasih dan berkira dalam hal ini, terutamanya hukum yang telahpun ditentukan oleh Allah S.W.T.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud:

"Dalam kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr.
Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. 
Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. 
Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Ka’b. 
Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit.
Orang yang paling berilmu mengenai halal dan haram ialah Muaz bin Jabal.
 Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah."

 (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Peringatan buat anda dan diri saya sendiri marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti diri sebagai seorang pemimpin dan bersikap tegas terutamanya hal-hal berkaitan kebenaran dan hukum Allah S.W.T. InsyaAllah

Entri ini di inspirasi dari
1) Majalah Solusi Isu 25 m/s 34 :Profil Sahabat, Syaitan lari dari Sayidina Umar
2)  Blog Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman

Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...