Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Saya pasti anda semua pasti mempunyai rakan karib di tempat kerja, di kolej, di sekolah mahupun di laman maya seperti Facebook dan Blogger.
Saya mempunyai beberapa orang rakan yang sangat baik. Mereka banyak membantu terutamanya dalam menyiapkan tugasan di tempat kerja. Ada juga yang sudi mendengar keluhan dan suka duka pengalaman saya. Ada juga yang boleh bergurau dan berhibur bersama.
Yang perempuan bertudung cantik menutup aurat. Yang lelaki segak berbaju melayu dan kopiah di hari Jumaat.
Walaupun yang demikian, ada dikalangan mereka seakan lalai
dengan kewajipan mereka, iaitu kewajipan sebagai seorang muslim yang
harus menunaikan solat 5 waktu.
Namun ingin saya mengingatkan anda dan diri saya sendiri, kita tidak seharusnya merasa diri kita hebat dan merendahkan rakan-rakan kita yang kelalaian itu kerana sikap ini sebenarnya sangat tidak disukai Allah.
Firman Allah dalam surah Luqman ayat 18 :
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membangga diri"
Walaupun mereka ternyata melakukan kesalahan, namun kita tidak seharusnya memarahi dan menghukum mereka, dan yang paling teruk memulaukan mereka.
Sepatutnya kita cuba menegur mereka agar mereka mengingati semula Allah S.W.T. Namun teguran itu janganlah terlalu keras seperti ini :
"Woi nak masuk neraka ke tak sembahyang!"
"Ko kafir ke?"
"LISTEN LISTEN LISTEN! "
Kita boleh meneladani sunnah Nabi Muhammad S.A.W ketika berdakwah, dimana baginda bersikap lemah lembut, memohon ampun, muzakarah, memaafkan dan bertawakal kepada Allah.
Sunnah ini penting kerana jika kita gagal melakukanya, rakan yang cuba kita nasihati barangkali akan tidak senang dan menjauhkan diri dari kita, lalu membuatkan hatinya tertutup.
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 159 yang bermaksud :
“Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.
Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Peringatan buat anda dan juga diri saya sendiri, hargailah rakan-rakan anda, dorong dan bimbinglah mereka ke jalan yang benar, dengan cara yang baik sepertimana sunnah Rasulullah S.A.W.
Mudah-mudahan mereka menerima hidayah dan petunjuk dari-Nya. InsyaAllah.
Entri ini di inspirasi dari :
HafizFirdaus.com
Assalamualaikum
No comments:
Post a Comment